Jangan bertangguh! Kerjasama perpaduan perlu dirasai di akar umbi – Noraini

Kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu dizahirkan hingga ke peringkat akar umbi terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, kata Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).

Datuk Dr Noraini Ahmad yang juga Ketua Wanita UMNO berkata perkara itu tidak boleh lagi ditangguh bagi memastikan rakyat dan ahli parti dapat merasai kerjasama dan kestabilan tersebut.

“Kita perlu fokus. Jadikan konvensyen ini sebagai titik mula kepada sebuah agenda yang lebih besar, tekad bersama.
“Jangan kita bertangguh lagi.

“Lagipun, kita bakal berdepan dengan cabaran Bersama di PRN di enam negeri pada bila-bila masa sahaja dan Tugas dan tanggungjawab yang menanti kita sangat besar,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Wanita Nasional Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata pihaknya mengakui pada peringkat awal, ada timbul perasaan janggal apabila mereka yang sebelum ini menjadi seteru politik selama puluhan tahun duduk semeja.

“Siapa sangka saya akan duduk semeja dengan YB Aiman (Aiman Athirah Sabu), siapa sangka saya akan bekerja bersama Chong Eng. Namun ia suatu perkara yang telah kita mulakan.

“Dengan gabungan besar yang sarat dengan pengalaman, potensi yang ada ini tidak boleh disia-siakan. Ini bukanlah masa untuk kita mencari silap dan salah. Ini bukan lagi masa untuk kita ungkit kisah dan cerita lama,” katanya.

Suasana meriah dalam Dewan Merdeka, WTC, Kuala Lumpur yang menyaksikan anggota parti Kerajaan Perpaduan berhimpun buat pertama kali dalam sejarah pada 14 Mei 2023. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH/Harapan Daily

Sambil menyifatkan suasana konvensyen tersebut menerbitkan aura luar biasa Noraini  berkata ahli parti Kerajaan Perpaduan mampu bersama-sama melontarkan buah fikiran, menjalin kemas setiap idea, bagi menggarap hala tuju dan misi, agar seirama dan senada.

Katanya ini membuktikan bahawa, walaupun datang dari parti yang berbeza, mereka sebenarnya boleh berdiskusi secara profesional, membawa agenda untuk rakyat dan negara, dalam suasana yang cukup harmoni dan sejahtera.

“Mewakili Wanita Barisan Nasional, terima kasih kepada sahabat-sahabat semua, dari Pakatan Harapan, GPS, GRS, Warisan dan seluruh rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan kerana bersama di dalam Dewan Merdeka ini,” ujarnya.

Kata beliau pada awal tertubuhnya Kerajaan Perpaduan ini, banyak persoalan yang timbul, dan tidak kurang juga ramai yang mempertikaikannya.

“Hakikatnya, gabungan seperti ini bukanlah satu perkara yang baharu, bukan juga suatu perkara yang kita harus rasa pelik dan janggal.

“Sejarah dunia membuktikan, banyak negara yang pernah membentuk kerajaan seumpama Kerajaan Perpaduan. Malah, beberapa buah negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat pernah mewujudkan “Unity Government”.

“Dampak PRU15, tiada parti yang mendapat mandat mentadbir Negara secara bersendirian. Atas kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong, maka terbentuklah Kerajaan Perpaduan.

“Kita semua sambut dengan hati yang terbuka. Asasnya cuma satu, membentuk kerajaan yang stabil dan diyakini,” katanya.

Tambah beliau kestabilan politik mampu memberi suntikan keyakinan kepada pelabur dan membawa negara keluar daripada belenggu ketidaktentuan ekonomi.

“Kestabilan politik dan kesejahteraan negara yang boleh menyuburkan perpaduan kita. Inilah acuan kita dalam usaha untuk mengembalikan semangat Malaysia yang asal, Malaysia yang majmuk, Malaysia yang makmur,” ujarnya.