Keperluan makanan antara empat perkara perlu dipenuhi perkasa ekonomi

Kerajaan Perpaduan diseru agar memenuhi empat perkara asas bagi memperkasakan ekonomi rakyat dan negara, kata Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata keperluan tersebut antaranya keperluan makanan yang menuntut kerajaan memastikan bekalan makanan seperti ayam mencukupi.

“Rakyat mahukan empat perkara asas iaitu keperluan makanan, bermakna kerajaan perlu menyediakan keperluan ruji ini seperti bekalan ayam yang mencukupi.

“Kemudian rakyat mahukan kualiti pendidikan tidak kira sekolah rendah, menengah universiti dan TVET. Selain itu, rakyat juga mahukan peluang pekerjaan disamping kemudahan rumah yang dilengkapi utiliti perlu disediakan oleh kerajaan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi Memperkasa Ekonomi Rakyat Konvensyen Nasional Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Johari yang juga Bendahari BN berkata kerajaan juga mesti mempunyai keupayaan untuk menarik pelabur-pelabur kerana ia memberi manfaat besar kepada rakyat melalui kutipan cukai.

“Jadi ekonomi rakyat dan ekonomi negara saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dilihat mampu meringankan beban rakyat dalam negara ini.

“Inisiatif yang telah masuk ke bulan enam dan kesan penurunan inflasi telah menurun 9.6 peratus kepada 9.3 peratus.

“Walaupun usaha dilihat kecil tetapi ia mampu meringankan beban rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata kerajaan akan mengumumkan pakej Insurans Rahmah bagi menyambung pakej-pakej rahmah yang lain.