Konvensyen hantar mesej kerajaan kukuh, stabil dan berfungsi

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini menghantar mesej untuk memberikan keyakinan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kukuh, stabil dan berfungsi dengan baik.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kerajaan Perpaduan juga mendukung asas kepentingan bersama termasuk kestabilan politik dan memakmurkan ekonomi rakyat.

“Pertama, kita nak bawa balik keyakinan kerajaan Madani ini merupakan gabungan yang kukuh dan stabil serta berfungsi dengan baik.

“Kedua, Kerajaan Perpaduan menyokong kuat asas-asas yang disepakati dalam perlembagaan bersabit agama Islam dan agama lain bebas dianuti, mengiktiraf institusi raja-raja, Perkara 153 (hak istimewa orang Melayu) dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Ketiga asas perpaduan kita jelas antara kita iaitu memelihara kepentingan bersama maka ia menjadi asas mengikat kita,” kata beliau ketika berucap dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata ahli politik disaran agar terus berlapang dada serta fokus terhadap proses membina Malaysia ke arah yang lebih dinamik dan inklusif.

Jelas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, pertempuran PRU15 telah pun berakhir dan senario politik ketika ini memerlukan kepelbagaian idealogi yang tidak lagi berpaksikan perjuangan berdasarkan politik kepartian semata-mata.

“Kepelbagaian di negara kita merupakan satu keunikan dan menjadi khazanah negara yang perlu dipelihara, dipertahan dan terus diperkukuh, jelasnya.