Konvensyen Perpaduan tutup mulut pengkritik, penghasut rakyat

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung hari ini dapat menutup mulut pengkritik dan penghasut rakyat yang mendakwa pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mampu bertahan serta bakal tumbang.

Pengarah Komunikasi Wanita PKR Pusat Noraini Nordin berkata pembangkang juga bakal kehabisan modal untuk menyambung siri-siri fitnah jahat dan cubaan ‘menebuk’ Kerajaan Perpaduan juga akan ‘terbisu’ dengan sendirinya.

“Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini pastinya dapat meredakan bunyi ‘bising’ dari ‘tong-tong kosong’ yang selama ini gigih mencanang kononnya Kerajaan Perpaduan tidak mampu bertahan lama dan bakal tumbang bila-bila masa,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Noraini yang juga Pemangku Ketua Penerangan Wanita PKR Pusat berkata konvensyen ini juga menggambarkan wujudnya muafakat yang bijaksana dan matang sebagai kunci utama untuk mengekalkan perpaduan yang telah sedia terbentuk.

“Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, bidalan yang amat bertepatan dengan konvensyen ini. Mereka yang bermuafakat, bersefahaman dan bertoleransi pasti akan menang.

“Yang khianat serta suka mengadu domba pasti hati mereka tidak tenang. Hari ini dunia telah menjadi saksi bahawa kita adalah golongan yang matang dan mengutamakan negara serta rakyat dalam berpolitik,” katanya.

Sempena konvensyen yang pertama kali diadakan seramai 20 ketua parti berhimpun untuk memperkukuhkan tembok Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR.

Parti-parti utama yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan lain-lain.

Konvensyen bertema Madani: Mengangkat Agenda Rakyat dihadiri hampir 5,000 pemimpin peringkat akar umbi dari seluruh negara.

“Pada sebelah pagi berhimpun delegasi wanita dan pemuda parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di mana seramai lebih 3, 000 perwakilan menyertainya,” kata Noraini.

Jelas beliau, bagi rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian, keharmonian dan kestabilan dalam berpolitik serta hidup bermuafakat pasti amat teruja menantikan detik 14 Mei.

“Ayuh semua, mari kita bersama-sama berpadu tenaga dan perteguhkan persepakatan untuk menjayakan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

“Marilah kita berlapang dada, membersih minda, menyuci hati dan berjiwa matang demi memantapkan perpaduan serta kestabilan negara. Malaysia Madani adalah agenda mengangkat martabat rakyat dan jika boleh, kita sebar seluasnya sehingga ke Antartika,” katanya.