Parti Kerajaan Perpaduan perlu tingkat kesepakatan politik

Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu meningkatkan kesepakatan politik dalam kalangan mereka dengan memperluaskan perspektif dan memahami nilai-nilai kepelbagaian yang dimiliki.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Saleh berkata semua kaum di negara ini harus saling melengkapi dan diberi peluang untuk berjaya serta berkembang.

“Kita juga harus menghormati perlembagaan negara dan mempromosikan rasa hormat dan kesopanan antara kaum dan memahami bahawa perbezaan bukanlah penghalang untuk berhubung dan bekerjasama.

“Kita harus bekerjasama untuk membangun sebuah negara yang sejahtera dan berjaya,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pemuda Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Akmal berkata perpaduan antara kaum adalah faktor penting dalam membina sebuah negara yang stabil dan sejahtera.

“Kita semua harus memahami bahawa kepelbagaian budaya dan agama adalah satu kekayaan yang harus dihargai dan dijaga. Semua kaum yang ada di dalam Malaysia adalah penting dan ia saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain.

“Semua kaum harus diberi peluang untuk berkembang dan berjaya,” katanya.

Justeru itu, katanya sebagai generasi muda, anggota sayap parti-parti Kerajaan Perpaduan harus mengambil tanggungjawab untuk menghargai dan mempertahankan nilai kemerdekaan dan perpaduan di negara ini.

“Namun, sayangnya, nilai kemerdekaan yang telah dicapai tersebut telah dilupakan oleh sebahagian golongan belia sekarang. Banyak dari mereka yang tidak menghargai kemerdekaan yang telah dikecapi dan tidak memahami betapa sukar dan besar perjuangan untuk mencapai kemerdekaan tersebut.

“Akibat dari kurangnya penghargaan terhadap nilai kemerdekaan adalah kehilangan rasa hormat dan menghormati sesama kaum.

“Perpaduan diantara kaum semakin hilang kerana kurangnya kesedaran tentang pentingnya perpaduan dan kerjasama antara kaum,” katanya.

Â