PM Anwar ‘salute’ 148 Ahli Parlimen, 19 parti bentuk kerajaan stabil

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tabik hormat kepada kesemua 148 Ahli Parlimen melibatkan 19 parti politik yang sanggup melupakan persengketaan lama untuk berganding bahu mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang kukuh serta stabil.

Perdana Menteri berkata sekiranya semangat tersebut tidak wujud maka Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang tidak akan dapat dibentuk.

Dalam hal ini beliau berkata pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan soal Anwar semata-mata sebaliknya ia merupakan usaha kolektif semua pihak.

“Apa prinsipnya, pertama ini adalah collective effort, bukan isu anwar tapi isu komitmen pimpinan yang mempunyai wawasan dan komitmen untuk membela nasib rakyat.

“Dan ia diterjemahkan oleh pimpinan yang mewujudkan Kerajaan Perpaduan bukan sekadar menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong tetapi meletakkan asas negara yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Lebih 5,000 ahli parti Kerajaan Perpaduan berhimpun buat kali pertama di Dewan Merdeka, WTC, Kuala Lumpur pada 14 Mei 2023. Foto Rubiah Wang