Wanita ikrar lima tekad perkukuh Kerajaan Perpaduan
Hampir 3,000 anggota sayap wanita parti Kerajaan Perpaduan memeterai lima tekad bagi memperkasakan kedudukan golongan tersebut dalam pentadbiran Malaysia Madani.
Ikrar tersebut ditandatangani oleh lima pimpinan utama gabungan parti dalam blok kerajaan iaitu Ketua Wanita PH Aiman Athirah Sabu, Pengerusi Wanita BN Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Wanita GPS Datuk Seri Fatimah Abdullah, wakil ketua GRS Datuk Flovia Ng dan Ketua Wanita Warisan Norfaizah Chua.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO menyaksikan upacara menandatangani ikrar tersebut di hujung Konvensyen Nasional Wanita Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Lima tekad yang disepakati oleh pimpinan wanita itu ialah:
- Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan memastikan kesepakatan rakyat agar masyarakat majmuk di Malaysia menjalani kehidupan dalam suasana harmoni dan sejahtera;
- Â Menjadi peneraju utama dalam pembangunan komuniti masyarakat Madani;
- Melaksanakan agenda pemerkasaan Wanita bagi memastikan wanita memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi Negara;
- Memastikan penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam membuat keputusan di setiap peringkat demi memastikan hak serta kepentingan wanita terpelihara dalam konteks mengupaya dan mencapai kesaksamaan dan
- Memastikan Wanita mendapat pembelaan dan perlindungan dari aspek kebajikan, keselamatan, pendidikan, sosial dan hak asasi manusia.
Terdahulu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengetuai bacaan ikrar tersebut bersama kira-kira 3,000 anggota sayap wanita yang terdiri daripada 19 parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Â