Geran khas JPKKOA dengan peruntukan RM345,000 untuk bantu Orang Asli NS

Geran khas Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) membabitkan 69 kampung Orang Asli yang berdaftar di Negeri Sembilan, telah diluluskan kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM345,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 28 kampung yang mempunyai JPKKOA akan menerima RM5,000, manakala 15 lagi kampung yang tidak mempunyai JPKKOA dan kampung yang diketuai Tok Batin akan menerima RM4,000.

“Semoga dengan pemberian geran ini, JPKKOA dapat menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat demi pembangunan komuniti.
“JPKKOA perlu kreatif, inovatif, dinamik serta berkarisma dalam menguruskan kampung masing-masing.

“JPKKOA juga adalah perantara di peringkat akar umbi yang akan menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa, selain menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat,” katanya seperti dilapor portal berita Negeri Kita.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, masyarakat Orang Asli perlu bijak meneroka peluang yang boleh meningkatkan ekonomi kampung.

”Ia adalah seperti bidang pertanian, penternakan, pelancongan desa, adat budaya, produk kraftangan dan keseniaan masyarakat Orang Asli.

“Justeru kepimpinanan kampung perlu bijak mengambil peluang yang disediakan Kerajaan Negeri seperti Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) dan Geran Aktiviti Adat,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA: Aminuddin sumbang RM125,000 kepada masjid dan surau dalam Parlimen Port Dickson