Jangan jadi macam ular sawa, kata ulama Pas
Kepimpinan Pas dilihat sedang menghadapi masalah apabila ditegur sayap ulama parti itu dengan menasihatkan supaya jangan jadi macam ular sawa.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik mengemukakan perbandingan itu sebagai sindiran kepada pihak yang hanya bertanya khabar apabila ‘lapar’.
Tidak menyebut secara khusus, bapa kepada 15 anak itu hanya menyebut “pejuang Islam” yang dilihat berkemungkinan merujuk pada pemimpin Pas.
“Pejuang Islam jangan jadi macam ular sawa. Lepas telan anak lembu terus senyap. Nak bergerak pun malas.
“Bila lapar baru nak bergerak balik. Masa kenyang kawan pun tak kenal. Bila lapar, baru nak bertanya khabar,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.
Kelmarin, dalam nada dan isu sama, Mokhtar menganggap pihak yang lupa kawan ketika berada di persada bersikap acuh tidak acuh termasuk tidak melayan kiriman WhatsApp rakan.
“Kamu fikir apa salahnya hilang sebahagian teman kerana kamu masih punya ramai pengikut dan peminat.
“Kamu malas nak layan WhatsApp kawan-kawan. Kamu biarkan tanpa dibaca apatah lagi respon.
“Soalnya bukan kamu tak punya masa, tapi kamu merasakan kamu sudah berada di persada dan punya nama.
“Kamu tanpa silu menyingkirkan teman-teman lama kerana kamu ada teman-teman baru yang lebih manis pujiannya terhadap kamu,” luahnya.
Untuk rekod, Mokhtar pernah menjadi calon bagi Parlimen Padang Besar di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang itu selanjutnya menegaskan bahawa panas tidak sampai ke petang serta ketentuan Tuhan itu sentiasa berubah.
“Kini kamu mula mencari teman. Kamu mula WhatsApp mereka untuk menghilangkan sepi.
“Kamu mula kembali ke warung-warung kopi merendahkan diri. Kini kamu bukan siapa-siapa lagi,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu lagi.
Â