Keluarga sakan beraya, anak kembar menangis ketakutan dalam kereta berkunci

Sepasang kembar perempuan didakwa telah ditinggalkan di dalam kereta berkunci oleh keluarganya yang beraya ke rumah terbuka.

Pengguna Facebook, Nana Nandos memberitahu bahawa enjin kereta tersebut dimatikan hanya tingkap dibuka sedikit.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di Taman Kajang Impian, Selangor.

“Terdengar tangisan budak dari dalam kereta, anak kembar dalam keadaan takut dan menangis.

“Sempat berikan air kotak untuk tenangkan mereka dan tunggu lebih kurang 30 minit untuk keluarga kanak-kanak itu kembali,” tulisnya.

Beliau juga memberitahu, datuk dan nenek pasangan kanak-kanak itu juga turut meninggalkan kembar berkenaan di dalam kereta.

Keluarga tersebut, katanya, hanya mengangkat tangan sambil tersengih-sengih kepadanya yang menemankan kedua-dua budak perempuan itu manakala si ibu seperti buat muka tidak bersalah.

“Kalau dulu macam tak percaya ini boleh berlaku. Sekarang (berlaku) depan mata. Raya tu raya juga tapi anak-anak tu amanah kita.

“Kira bagus saya tak lapor pada polis,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Mengikut seksyen itu, mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mana-mana individu yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak dan kemudian mendedahkannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi, boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.