Masalah liputan rangkaian 4G akan ditangani tahun ini

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memberi jaminan menangani masalah liputan rangkaian 4G semasa selain daripada jangkaan 80 peratus pelancaran 5G di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Menteri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu diambil kerana banyak pihak yang masih bergantung pada rangkaian 4G.

“Terdapat banyak masyarakat di luar sana yang menganggap rangkaian 4G penting walaupun 5G dilancarkan dan kami tidak mahu mereka ketinggalan.

“Oleh itu, kerajaan komited untuk menangani isu mengenai liputan rangkaian 4G selain jangkaan 80 peratus liputan rangkaian 5G menjelang akhir tahun,” katanya dalam wawancara di saluran televisyen Al-Hijrah, hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Pantai Dalam turut menjelaskan bahawa kualiti jaringan perkhidmatan belum sampai tahap yang memuaskan walaupun liputan hampir 100 peratus.

“Liputan rangkaian 4G semasa di Malaysia ialah 96.92 peratus, iaitu hampir 100 peratus tetapi realitinya belum ada mana-mana syarikat yang ada jaringan internet sebanyak itu.

“Oleh itu, saya telah maklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyelesaikan isu ini (mengenai liputan rangkaian 4G),” ujarnya lagi.

Tambah beliau, apabila pengguna membayar perkhidmatan rangkaian kepada pembekal telekomunikasi, mereka mengharapkan liputan di mana-mana tetapi ia tidak berlaku.

“Apabila pengguna membayar RM50 atau RM100 untuk perkhidmatan rangkaian mereka, mereka menjangkakan ada sambungan di mana-mana, justeru saya telah mengarahkan penyedia telekomunikasi untuk menyelesaikan isu ini.

“Jikalau Perdana Menteri mahu menoktahkan kemiskinan tegar, saya juga mahu menoktahkan masalah liputan rangkaian,” katanya lagi.

BACA JUGA: Kuota internet tambahan percuma hingga 31 Mei