Pendirian GRS hancurkan mimpi PN rampas kerajaan
Ucapan pemimpin tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berulang kali menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menghancurkan mimpi Perikatan Nasional (PN) untuk menjatuhkan kerajaan.
Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapan Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam, turut bersahaja menjawab tuduhan pembangkang bahawa kerajaan umpama ‘tidur sebantal tetapi mimpi berlainan’.
Beliau membalas, mengatakan sekurang-kurangnya mereka tidur dan mimpi dengan tenang, tidak seperti ‘pihak di sana’ yang terus mengigau membuat kacau.
“Saya sekali lagi mengulangi komitmen dan sokongan GRS yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Ada yang cuba memperlekehkan status dan kedudukannya termasuk yang menuduh kita ini tidur sebantal mimpi lain-lain.
“Bagi kami GRS biar apa pun mereka bilang, kita teruskan perjalanan, teruskan perjuangan kerana akhirnya kebersamaan kita adalah demi rakyat. Sekurang-kurangnya kita tidur dan mimpi dengan tenang. Bukan mengigau mencari kacau,” tegasnya.
Sementara itu, Hajiji berkata GRS bersedia membantu rakan seperjuangan dalam Kerajaan Perpaduan untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
Beliau berkata, komitmen itu sedia diberikan jika bantuan GRS diperlukan di enam negeri yang berhadapan dengan PRN.
“Kita mendoakan rakan-rakan parti gabungan Kerajaan Perpaduan akan memperoleh kejayaan cemerlang dalam PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi,” ujarnya.
Â