Peruntukan RM800,000 bantu nelayan Kelantan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan peruntukan bernilai RM800,000 untuk membantu nelayan Kelantan.

Dari jumlah itu, sebanyak RM600,000 adalah peruntukan bagi pembinaan unjam di tiga lokasi iaitu Tumpat, Bachok dan Kota Bharu.

“Saya berbesar hati mengumumkan sebanyak RM600,000 telah diluluskan bagi tujuan pembinaan di tiga lokasi yang disebutkan itu.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa sebuah projek naik taraf dan baik pulih infrastruktur jeti di Kuala Kemasin, Kelantan turut diluluskan.

“Projek naik taraf itu diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM200,000 yang bakal memberi manfaat kepada 150 nelayan dan 80 bot,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Kelmarin, Mohamad mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali dan merasmikan Kilang Air Batu Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) yang juga terletak di Tok Bali, Pasir Puteh.

Justeru, beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berharap, segala usaha daripada pihak kerajaan, akan dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan dan produktiviti nelayan di negeri tersebut.

Pada 9 Mac lalu, Mohamad juga mahu pelaksanaan program Penempatan Semula Nelayan (PSN) di seluruh negara disegerakan, manakala nelayan yang sudah memperoleh rumah diingatkan tidak menjualnya demi keuntungan segera.

Katanya, kebanyakan projek perumahan nelayan melalui PSN yang tergendala dua tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 2020, sudah siap menjelang akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah PSN yang belum siap kerana tergendala.

KPKM melalui LKIM sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah dan memastikan ia mampu disiapkan bagi memenuhi keperluan nelayan.

BACA JUGA: Kerajaan salur bantuan nelayan Pantai Timur terjejas banjir