PM Anwar mohon maaf tidak sempat bersalam, bertegur sapa
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf jika beliau tidak sempat bersalam dan bertegur sapa semasa majlis Rumah Terbuka Madani Selangor di Taman Seri Gombak malam tadi.
Dalam masa sama, beliau mengakui terharu dengan sambutan meriah daripada rakyat di Selangor untuk penganjuran program sempena Aidilfitri ini.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru supaya orang ramai menyebarkan mesej kasih sayang dan rahmah.
“Bertemu ramai anak Selangor semalam yang membanjiri majlis dan terharu tatkala semangat kasih sayang dan silaturahmi terus utuh dan kuat bersemangatkan Aidilfitri Mubarak.
“Saya mohon maaf sekiranya ada yang tidak sempat saya bersalam dan bertegur sapa.
“InshaAllah, kita pasti ketemu lagi di lain waktu. Terus sebarkan mesej kasih sayang dan rahmah!” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.
Anwar turut mengucapkan penghargaan kepada pengunjung dan semua pihak yang menjayakan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani khususnya Kerajaan Negeri Selangor.
Lebih 30,000 pengunjung dilapor hadir ke Rumah Terbuka Madani Selangor di Taman Seri Gombak malam tadi yang sekaligus dilihat sebagai isyarat sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar.