Rezeki Aidilfitri, suri rumah sekeluarga dapat ‘kediaman baharu’

Tiada perkataan yang mampu diucapkan selain memanjat rasa syukur dan gembira. Apatah lagi, tanpa diduga pemberian nikmat ‘rumah baharu’ hadir ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

Demikian perasaan yang dapat dirasai oleh seorang seorang suri rumah apabila hari ini dia sekeluarga dapat melangkah masuk semula ke rumahnya di Pangsapuri Seri Penara, Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur.

Hamidah Moin, 63, bersama suami, Azmi Hamid, 57, berserta tiga anaknya termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) berasa amat bertuah kerana kini rumah tiga bilik yang mereka duduki sejak 20 tahun lalu telah berubah wajah.

Suri rumah tersebut merupakan penerima pertama Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan yang menyaksikan unit pangsapuri tersebut diberikan ‘sentuhan’ melalui proses baik pulih bahagian dalaman termasuk dilengkapi perabot baharu.

Dengan kos membaik pulih sebanyak RM30,000, kediaman Hamidah yang dahulunya dalam keadaan tidak terurus dan usang, kini kelihatan bersinar dan tampak selesa untuk mereka sekeluarga.

Hamidah ketika ditemui pemberita melahirkan rasa gembiranya kerana kini dia sekeluarga dapat tinggal dengan lebih selesa.

“Sebenarnya saya tidak memohon untuk program ini tetapi dalam lapan unit rumah yang disenaraikan, rumah saya telah terpilih,” katanya yang sebelum ini diberikan kediaman sementara di blok berasingan pangsapuri itu bagi memberikan laluan proses baik pulih rumahnya.

Hamidah berkata pihak penganjur memaklumkan kepadanya bahawa kos membaik pulih itu tidak perlu dibayar sebaliknya percuma buat mereka sekeluarga.

“Terima kasih kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memilih saya sebagai peserta Rumah Kasih Harapan Kak Wan,” ujarnya yang bekerja mencari rezeki dengan mengutip barang lusuh di sekitar kawasan tersebut.

Terdahulu Dr Wan Azizah menyempurnakan pemberian kunci rumah yang sudah dibaik pulih itu kepada Hamidah dalam majlis di Dewan Al-Firdaus Seri Penara, Bandar Seri Permaisuri.

Hadir sama Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin.

Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan merupakan inisiatif Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak.

BACA JUGA: Rumah Kasih Harapan Kak Wan tanda komited bantu miskin bandar