Rumah Kasih Harapan Kak Wan tanda komited bantu miskin bandar

Kerajaan komited untuk membantu meningkatkan taraf  hidup masyarakat miskin bandar termasuk memberi peluang kepada mereka untuk menikmati kemudahan tempat tinggal yang lebih selesa.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya bagi mengajak rakan-rakan strategik untuk turut sama membantu golongan tersebut.

Salah satu skim yang disediakan bagi membantu golongan tersebut ialah Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan yang memberikan peluang penduduk miskin menerima bantuan baik pulih rumah.

“Setakat ini kita mula dengan sebuah rumah, kalau yang perlu dibantu mereka boleh menghubungi Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Terdahulu Dr Wan Azizah menyempurnakan penyampaian kunci rumah kepada penerima pertama Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan di Pangsapuri Seri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur hari ini.

Program itu merupakan inisiatif Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak.

Hadir sama Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin.

Dr Wan Azizah meninjau kemudahan kabinet dapur baharu yang disediakan dalam program Rumah Kasih Harapan Kak Wan di Pangsapuri Seri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pada 15 Mei 2023. Turut kelihatan Azman (kiri) dan Hamidah (kanan).  Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH/Harapan Daily

Dr Wan Azizah berkata penerima pertama, Hamidah Moin, 63 dipilih sebagai penerima pertama program tersebut setelah melihat kesusahan hidup yang dilaluinya bersama keluarga selain tidak mempunyai sumber pendapatan tinggi dan memelihara anak orang kurang upaya (OKU).

“Pemberian kunci rumah ini sebagai tanda pasukan kami di Bandar Tun Razak komited untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat miskin bandar.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk mencari rakan strategik untuk bersama mendukung konsep Madani dan menterjemahkan sampai ke peringkat mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyedari terdapat banyak rumah yang perlu dibantu namun tidak dapat untuk melaksanakan kesemuanya.

“Kita mulakan dengan satu dulu, sebab kita pun perlu cari kontraktor yang boleh bekerjasama dengan memberikan harga yang berpatutan, kita tahu perlu ada margin tapi biarlah tidak banyak sangat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk dapat memastikan kawasan tempat tinggal mereka dalam keadaan bersih dan harmoni.

BACA JUGA: Rezeki Aidilfitri, suri rumah sekeluarga dapat ‘kediaman baharu’