Tiada masalah BN guna logo PH di Selangor

Tiada masalah sekiranya Barisan Nasional (BN) ingin menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Elizabeth Wong, ini memandangkan PH terbuka untuk kesepakatan bersama.

“Pada pandangan peribadi saya, kalau Barisan Nasional (BN) nak guna logo PH tiada masalah, Selangor ini terbuka,” lapor BH.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan masih belum memuktamadkan penggunaan logo dacing dalam kalangan parti sekutu gabungan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut mengenai logo yang akan PH Selangor gunakan pada PRN tidak lama lagi, beliau berkata, tiada isu blok politik di negeri itu akan menggunakan logo BN.

“Setakat ini, tiada isu penggunaan logo itu mungkin melibatkan PRN di negeri lain tapi bukan Selangor,” katanya lagi.

Untuk rekod, PH di Selangor mengekalkan tampuk pemerintahan selama tiga penggal berturut-turut bermula tahun 2008.

Berdasarkan keputusan PRU14, PH menguasai di 40 daripada 55 kerusi DUN di Selangor dengan PKR memenangi 19 kerusi, DAP (15) dan AMANAH (enam).

BN dan Perikatan Nasional (PN) pula memenangi masing-masing lima kerusi.

PRN di Selangor kali ini bakal menyaksikan sejauhmana sokongan undi BN boleh dipindahkan kepada PH dan sebaliknya susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan kesepakatan BN dan PH.