10 inisiatif baru KPM untuk guru

Sebanyak sepuluh inisiatif baru telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempena dengan sambutan Hari Guru hari ini.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk memperkasa kebajikan guru, mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

1. Penambahbaikan surat pekeliling Ikhtisas Bil. 5/2022 iaitu lawatan sekolah pada hari persekolahan
2. Peluasan Sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan sepuluh buah sekolah lagi dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan orang asli
3. Peluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah
4. Bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan
5. Kebenaran dan kelonggaran memakai baju korporat rasmi KPM
6. Pemansuhan sebarang kutipan sumbangan sambutan Hari Guru
7. Meningkatkan peranan kumpulan Guru Insani Malaysia
8. Mempertingkatkan peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dalam memperkasa profesionalisme guru dan menjaga kebajikan guru
9. Penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0
10. Program Cuti-Cuti Cikgu mampu milik

Bercakap di majlis perasmian sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-52 tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata program tersebut akan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Air Asia, Traveloka dan Bank Rakyat.

“Untuk memastikan kesejahteraan guru, kita bersama dengan rakan-rakan strategik KPM telah bersetuju memberi peluang kepada guru-guru untuk menikmati cuti yang maksimum sepanjang cuti sekolah,” kata Fadhlina

“Program ini ditawarkan melalui potongan harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-52 tahun 2023,” tambahnya.

Tiada kutipan sumbangan dibuat untuk sambutan tahun ini.

“Sambutan Hari Guru tahunan mulai tahun ini akan disambut di peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, sekali gus memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis tersebut.

“Kita juga bersetuju memberi kebenaran dan kelonggaran kepada guru di semua institusi pendidikan bawah KPM memakai baju korporat rasmi KPM bagi memberi keselesaan semasa bertugas,” katanya.

Tema sambutan Hari Guru tahun ini ialah Guru Insani Pemangkin Generasi Madani.