Amaran ribut petir, hujan lebat di tujuh negeri hingga 6 petang

Tujuh negeri terutama di utara Semenanjung dan barat daya Sarawak dijangka berdepan ribut petir dan hujan lebat sehingga jam 6 petang ini.

Amaran cuaca buruk membabitkan sejumlah daerah itu dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan di Facebook sebentar tadi.

METMalaysia meramalkan kawasan di Perak yang dilanda cuaca itu ialah Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Hilir Perak serta Batang Padang.

Di Terengganu, empat daerah terkesan iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun manakala di Kelantan, kawasan terbabit ialah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Selain itu, Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Rompin di Pahang serta Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Turut dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat di Sarawak ialah Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Mukah (Matu dan Dalat), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) dan Bintulu (Tatau).

Sementara itu, hanya pantai barat Sabah iaitu di Ranau dan Tawau diramal dibadai cuaca buruk tersebut.

METMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu keluaran,” katanya lagi.