Anwar dapat semangat, dukungan guru ketika dihumban ke penjara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa cukup terharu dan tersentuh dalam mengenang dan mengimbau jasa serta pengorbanan golongan pendidik.

Beliau berkata, dirinya tidak mungkin menjadi seorang yang insani tanpa sumbangan, dedikasi dan pengorbanan seorang guru terhadap dirinya.

“Saya rasa macam kembali bertugas sebagai guru dan juga sebagai Menteri Pendidikan, di mana tugas yang saya anggap sangat bermakna pada saya dan profesion perguruan yang sangat bererti dalam hidup saya.

“Tugas guru amat besar dan tidak dapat siapa nafikan atau mungkiri kita yang berjaya dalam hidup semuanya tidak terlepas daripada menghargai khidmat, sumbangan dan pengorbanan guru-guru termasuk saya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-52 tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Menurut Menteri Kewangan itu, sepanjang hidupnya, beliau tidak pernah sesekali memutuskan hubungan dengan guru-gurunya, malah bertambah menarik apabila para gurunya juga mengambil sikap yang sama.

“Apabila saya disingkir, dihumban ke penjara dan pada sidang-sidang mahkamah sehinggalah sekarang tidak putus hubungan, dukungan dan semangat yang diberikan oleh guru-guru saya.

“Pimpinan silih berganti, negara menyaksikan perubahan demi perubahan tetapi ukuran penghargaan kita kepada pendidik adalah sama seperti juga terhadap ibu bapa kita agar melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin untuk menghargai,” katanya.

Pada masa yang sama, Anwar turut mengarahkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi keutamaan atau laluan pantas (fast track) untuk kerja-kerja memperbaiki dan pembangunan semula sekolah-sekolah daif di seluruh negara.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan bahawa tidak mahu sebarang kerenah pentadbiran mengganggu pelaksanaan segera urusan melibatkan sekolah-sekolah daif, selaras dengan keutamaan Belanjawan Madani 2023 yang memperuntukkan dana terbesar untuk sektor pendidikan.

Jelasnya, situasi kritikal yang sekian lama membelenggu para guru dan murid sekolah terlibat, contohnya isu tandas rosak tidak harus terjadi ketika pertumbuhan negara dalam keadaan membanggakan.

“Saya telah memberikan arahan kepada Kementerian Kewangan dan KPM untuk menjalankan mengikut ‘fast track’ (laluan pantas), saya tidak mahu ada sebarang kerenah pentadbiran yang mengganggu pelaksanaan segera sekolah-sekolah daif.

“Bagaimana boleh kita mengkayakan sekolah-sekolah dalam keadaan negara memacu pertumbuhan membanggakan, dalam keadaan di mana hasilnya bertambah dan kita pernah mencatat kejayaan yang sangat membanggakan,” katanya.

Tambahnya lagi, kemudahan-kemudahan asas di sekolah seperti tandas yang kebanyakannya rosak dan tidak dapat digunakan harus diberi perhatian segera demi keselesaan pelajar.

Turut hadir pada Sambutan Hari Guru kebangsaan 2023 bertemakan Guru Insani Pemangkin Generasi Madani ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

KPM memperoleh peruntukan tertinggi berjumlah RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion, tahun lalu.

Daripada nilai itu, sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah buat setiap golongan pelajar.

Jumlah tersebut merangkumi peruntukan RM920 juta untuk naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.