Anwar: Keputusan kes Jill Ireland bukan untuk Semenanjung

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes penggunaan kalimah Allah melibatkan seorang penganut Kristian hanya terpakai di Malaysia Timur dan tidak melibatkan Semenanjung Malaysia.

“Ini khusus dalam kes Sarawak, Sarawak tak terikat dengan keputusan-keputusan negeri (lain).

“(Keputusan ini) tidak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang, Selangor, ini khusus untuk kes Sarawak,” katanya yang juga presiden PKR.

Anwar berkata demikian ketika diminta keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes wanita itu yang bernama Jill Ireland itu.

Notis untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah difailkan pada 18 April.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan pada 10 Mac 2021.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.

KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menyatakan keputusan untuk tidak meneruskan rayuan adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan. Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan melindungi kepentingan Islam.

Mantan menteri agama Datuk Seri Mujahid Yusof turut senada dalam mempertahankan keputusan untuk menarik balik rayuan tersebut.