Bank Negara: Sembilan salah faham tentang OPR

Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM)  mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) meningkat 25 mata kepada 3.00 peratus pada 3 Mei lalu mengundang pelbagai reaksi.

Kenaikan OPR itu adalah pertama bagi tahun ini selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu telah dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.

Berikutan itu, BNM  memberikan jawapan kepada sembilan salah faham atau tanggapan tentang kenaikan OPR tersebut:

  • OPR naik, kos sara hidup pun naik

Sebenarnya, kadar faedah yang lebih tinggi untuk simpanan dan pinjaman akan menggalakkan orang ramai untuk menyimpan dan kurangkan perbelanjaan dan itulah cara OPR mengurangkan inflasi.

  • OPR tak patut naik sebab inflasi dah turun

Sebenarnya, walaupun inflasi keseluruhan menurun, tekanan harga yang disebabkan oleh faktor permintaan masih tinggi dan permintaan yang kukuh menyebabkan harga tetap tinggi walaupun kos pengeluaran berkurang.

  • Kenaikan OPR terlalu agresif

Sebenarnya, OPR diselaraskan secara beransur-ansur dan terkawal dan sejak tahun 2022, OPR dinaikkan +125 mata asas, kembali kepada kadar sebelum Covid-19.

  • BNM naikkan OPR untuk ikut Amerika Syarikat

Sebenarnya, keputusan OPR dibuat berdasarkan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negara, manakala masa dan magnitud tidak mengikut negara lain.

  • Kenaikan OPR akan menyebabkan kemelesetan ekonomi

Sebenarnya, kenaikan OPR bertujuan mengawal inflasi pada masa ekonomi berkembang.

  • OPR yang lebih tinggi tidak memberi manfaat kepada sesiapa

Sebenarnya, apabila OPR naik, kadar faedah untuk simpanan juga akan naik.

  • Lagi rendah OPR, lagi bagus

Sebenarnya, OPR yang dikekalkan terlalu rendah untuk jangka masa terlalu lama akan memudaratkan ekonomi dan menyebabkan pengambilan risiko berlebihan dan pelaburan spekulatif untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.

  • Kenaikan OPR menyebabkan lebih banyak kebankrapan

Sebenarnya, kenaikan OPR juga akan membantu mengurangkan kadar kes bankrap dan kadar pinjaman mungkir kekal rendah.

  • Saya tidak boleh bayar balik ansuran bulanan yang baharu. Apa yang boleh saya buat?

Sebenarnya, bantuan sentiasa tersedia dan jika peminjam terbeban dengan ansuran bulanan baharu, mereka boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi pihak bank atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dalam soalan lazim melalui pautan bnm.gov.my/mp-faq.

BACA JUGA: KDNK berkembang 5.6 peratus, atasi jangkaan ramai pakar