BN mungkin tidak bertanding di 22 kerusi DUN Selangor

Sasaran awal Barisan Nasional (BN) Selangor untuk bertanding di 22 kerusi mungkin tidak dicapai bagi pertimbangan untuk memastikan kemenangan bersama Pakatan Harapan (PH), kata pemimpin Umno Selangor.

Ketua Pemuda Umno Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata jawatankuasa perundingan mempertimbangkan untuk sesuatu kerusi perlulah disokong oleh PH dan BN.

“Kita nak tentukan kerusi kalau BN tanding, BN boleh menang dengan sokongan PH, begitu juga kerusi PH bertanding boleh menang dengan sokongan BN.

“Ini adalah perkara akan diperhalusi dan dimuktamadkan seterusnya diputuskan (oleh) jawatankuasa perundingan,” lapor The Malaysian Insight. 

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rundingan itu sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan Jawatankuasa Persekutuan PH dan BN.

Jelas Imran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, sasaran awal 22 kerusi yang ingin ditandingi Umno itu mewakili setiap 22 bahagian pergerakan parti itu di Selangor.

Selain 22 kerusi tersebut, beliau memaklumkan bahawa Umno juga mahu mengekalkan lima kerusi dikuasai pada waktu ini dan juga kerusi diwakili penyandang yang berpaling tadah.

Lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut ialah Batang Kali, Jeram, Selat Kelang, Dengkil, Gombak Setia dan Bukit Antarabangsa.

Beliau turut mengakui bahawa proses rundingan kerusi kali ini hangat kerana ini merupakan kali pertama kedua-dua gabungan PH dan BN itu tidak bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.

“PRN akan datang juga menjadi medan sulung yang menyaksikan kedua-dua parti tidak bertembung dalam pilihan raya.

“Sudah pasti di meja rundingan akan ada pertindihan kerusi yang PH dan BN berhasrat tanding dan ini akan diputuskan peringkat tertinggi nanti,” katanya.

PH kini menguasai 41 kerusi manakala BN mempunyai lima kerusi daripada 56 keseluruhan DUN Selangor.

Sebanyak 10 kerusi lagi dimiliki pembangkang daripada PN iaitu enam kerusi Bersatu, satu kerusi Pas manakala tiga lagi kerusi milik Pejuang.