DAP Labu, berikan khidmat terbaik dalam PRN

Ahli DAP Labu di Negeri Sembilan diseru memberikan khidmat terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, pihaknya yakin bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dapat dipertahankan.

”Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Rasah, saya akan mengerahkan jentera DAP DUN Bukit Kepayang untuk membantu DUN Labu.

”Dalam masa sama, saya turut menegaskan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan. Antaranya semangat setia kawan PH wajar diutamakan.

”Selain itu, perkara peribadi wajar diketepikan untuk mempertahankan kesemua kerusi yang dimenangi,” beliau dipetik berkata oleh portal berita Negeri Kita.

Seruannya itu juga sejajar dengan penjajaran politik yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat pusat.

Kerusi PKR

Labu ialah kawasan DUN di bawah parlimen Rasah. Ia dimenangi oleh wakil PKR, Ismail Ahmad dalam pertandingan empat penjuru semasa pilihan raya umum ke-14 dalam tahun 2018.

Sebelum itu Labu ialah kawasan yang dikuasai oleh Umno.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri lain juga bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Ia berikutan masing-masing tidak membubarkan DUN pada PRU15 yang lalu.

Untuk rekod, PH di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Daripada angka ini, 11 kerusi dimenangi oleh DAP.

DUN Chennah umpamanya diwakili oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri Adat Perpatih itu, berbanding tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.