Erdogan dahului persaingan, masuki pilihan raya penentuan 28 Mei

Persaingan sengit antara Presiden Recep Tayyip Erdogan dan pencabarnya Kemal Kilicdaroglu mengheret politik Turki ke pilihan raya penentuan pada 28 Mei ini.

Majlis pilihan raya republik itu mengumumkan perkara itu semalam  selepas tiada calon memperoleh majoriti dalam pilihan raya pada Ahad lalu.

Pilihan raya pusingan pertama berakhir dengan tiada calon yang berjaya melepasi jumlah undian 50 peratus yang diperlukan, tetapi Erdogan kini mendahului, kata ketua majlis itu, Ahmet Yener, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata peratusan keluar mengundi sebanyak 88.92 peratus manakala peratusan pengundi luar negara sebanyak 52.69 peratus.

Erdogan yang bertanding atas tiket Perikatan Rakyat dicabar Kilicdaroglu yang mewakili parti pembangkang.

Pada pusingan pertama Erdogan mendapat 49.51 peratus undian dan Kilicdaroglu memperoleh 44.88 peratus.

Seorang lagi calon Sinan Ogan dari Perikatan ATA (Ancestral) sekadar mendapat 5.17 peratus.

Pilihan raya penentu akan menyaksikan persaingan antara Erdogan dan Kilicdaroglu.

Erdogan telah mentadbir Turkiye sama ada sebagai Perdana Menteri atau Presiden selama dua dekad.

Isu membabitkan gempa bumi besar pada Februari lalu selain ekonomi menjadi tumpuan pada pilihan raya kali ini.

Erdoğan adalah ahli politik Turki dan Presiden Turki ke-12 sejak 2014. Beliau merupakan pengerusi Parti Keadilan dan Pembangunan telah memenangi pilihan raya umum Turki 2007 dan 2011.

Beliau sebelum itu merupakan Datuk Bandar Istanbul dari 1994 hingga 1998.

BACA JUGA: PM Anwar terima jemputan Erdogan, beri sokongan moral mangsa gempa Turkiye