Harga jualan beras dijamin kekal rendah

Kerajaan akan terus memainkan peranan dalam memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi selain harga jualan beras kekal rendah.

Menurut Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood, harga jualan beras di Malaysia masih lagi rendah pada RM2.60 sekilogram berbanding kebanyakan negara lain di Asia Tenggara.

Jelasnya, berbanding negara lain, harga beras negara jauh lebih rendah berbanding Singapura pada RM6.70 satu kilogram, Brunei (RM5.80 satu kilogram), Thailand (RM3.60 satu kilogram), Vietnam (RM3.50 satu kilogram) dan Laos (RM5.03 satu kilogram).

Selain itu katanya, negara juga tidak pernah menghadapi krisis kekurangan bekalan beras walaupun ketika berhadapan dengan krisis Covid-19 beberapa tahun lalu.

Pegawai Penguatkuasa Kawal Selia Padi dan Beras memainkan peranan yang penting dalam memastikan beras sentiasa berada di dalam negara dengan harga yang paling murah dalam pasaran serantau.

“Malah, kerajaan juga tidak pernah menaikkan harga beras di pasaran walaupun kos barangan lain telah meningkat,” dipetik BH.