Hari Guru: Biarpun OKU, Jasmi cekal didik anak bangsa

Bergelar sebagai seorang orang kurang upaya (OKU) tidak pernah menjadi penghalang atau menyebabkan Jasmi Md Tegal, 56, lemah semangat untuk berbakti sebagai seorang pendidik.

Sebaliknya, gelaran OKU yang dialami sejak berusia setahun setengah itu menjadi pembakar semangat untuk terus hidup seperti insan lain selain berbakti kepada anak bangsa.

Kekentalan guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China, Masjid Tanah, Alor Gajah itu melayakkannya menerima Anugerah Guru Berwibawa sempena Hari Guru 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh malam tadi.

“Saya anggap kekurangan diri saya ini sebagai peluang dan bukannya rintangan untuk bergelar sebagai seorang pendidik dan anugerah yang saya terima hari ini juga atas kekurangan diri ini

“Walaupun saya mempunyai masalah pada kaki kiri dan terpaksa bertongkat, saya merupakan bekas atlet paralimpik negara dalam sukan badminton malah pernah bergelar Juara Kebangsaan, Dunia dan Asia,” katanya yang juga Presiden Majlis Sukan dan Rekreasi OKU Malaysia, lapor Bernama.

Jasmi menerima anugerah berkenaan selain wang tunai sebanyak RM3,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata anugerah itu membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan OKU juga mampu berdikari dan mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di MITC, Ayer Keroh pada pukul 10 pagi ini.

Selepas itu, beliau akan menghadiri Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani: Masyarakat bersama PDRM peringkat Parlimen Tangga Batu di Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak.