Kerajaan sedia kaji arahan baharu penggunaan kalimah Allah, solat dan Kaabah

Kerajaan akan mengkaji dan mengemaskini satu arahan baharu yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” agar selari dengan kepentingan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Tindakan itu hadir susulan keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap mahkamah yang sebelum ini telah membenarkan seorang Wanita bukan Islam Sarawak, Jill Ireland untuk menggunakan perkataan “Allah”.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, dalam hal ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan institusi Diraja di Malaysia khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Menurutnya, sungguhpun Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun masih tertakluk kepada undang-undang Persekutuan/ Negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.

“Untuk makluman, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah dibuat dengan menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran iaitu isu berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah Allah.

“Ini kerana, fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal-ehwal berkaitan agama secara spesifik.

“Justeru, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ianya didapati konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah, dibuat mengikut “case-by-case basis” tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan Mahkamah.

Sewaktu proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN turut memperhalusi dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan yang dibuat oleh Kabinet pada 19 Mei 1986 dan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan oleh KDN pada 5 Disember 1986.

“Oleh yang demikian, KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah”.

“KDN lebih memfokuskan kepada aspek ketenteraman awam selaras dengan Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kebebasan beragama tersebut tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan,” jelasnya lagi.