Konvensyen bukti kestabilan kerajaan

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang melibatkan 148 ahli Parlimen politik dalam gabungan terbesar itu mampu menguatkan lagi kesefahaman jentera parti-parti dalam komponen tersebut. Ia turut membuktikan kestabilan kerajaan.

Pensyarah kanan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil, berkata konvensyen di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu bukan sahaja boleh meningkatkan ruang persefahaman bahkan juga ia boleh menoktahkan sebarang usaha mengganggu-gugat kestabilan politik negara.

“Apabila diadakan konvensyen seperti ini, parti-parti yang ada di dalam Kerajaan Perpaduan dapat menjelaskan kepada akar umbi itu sendiri mengenai kerajaan gabungan yang berlaku antara mereka.

“Jika sebelum ini tidak ada konvensyen hitam putih atau dokumen yang boleh memberikan satu bukti bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah relevan maka, dengan adanya himpunan tersebut ia dapat memberi garis panduan ataupun hala tuju yang jelas dalam gabungan itu,” katanya kepada Harapan Daily, semalam.

Justeru itu, Dr Jamie berpendapat, himpunan yang terdiri daripada 19 parti dalam blok kerajaan tersebut mampu memberi impak baik kepada ekonomi dan kestabilan politik hasil daripada kesepakatan gabungan tersebut bagi menetapkan hala tuju yang jelas untuk negara.

Kegusaran terjawab

“Jadi dengan adanya konvensyen ini, ia dapat menjawab kegusaran ataupun ketidaktentuan rakyat tentang hala tuju yang hendak dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Selain itu, ia juga boleh membawa kepada kestabilan politik negara untuk tidak berlaku lagi seperti pasca PRU14 apabila tumbangnya kerajaan satu persatu sehingga membawa kesan buruk kepada ekonomi negara.

Pada 14 Mei lalu, lebih 12 ribu pimpinan dan akar umbi dalam komponen Kerajaan Perpaduan menghadiri konvensyen yang julung kali diadakan itu, bagi meningkatkan kesefahaman diantara gabungan terbabit dan kesepakatan dalam menetapkan hala tuju negara.

Acara yang diadakan di PWTC memberi peluang kepada pimpinan PKR, DAP, AMANAH, SUPP, PBRS, UPKO, PBS, PDP, MIC, PRS, MCA, UMNO serta Gagasan GRS untuk memberikan ucapan melibatkan gabungan tersebut.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan itu juga turut membincangkan isu rakyat termasuk ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat.

Ia kemudiannya diakhiri dengan amanat pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.