Larangan azan: AMK Pulau Pinang gesa polis siasat

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak PDRM melakukan siasatan terhadap badan pengurusan bersama (JMB) sebuah kondominium di Tanjung Tokong berhubung larangan azan di kediaman tersebut.

Ketua AMK negeri, Muhammad Fadzli Roslan berkata, pihak pengurusan itu sepatutnya lebih peka dalam menjaga semangat keharmonian kaum dan sensitiviti agama.

“Selari dengan Perkara 3(1) yang tertakluk di dalam Perlembagaan Malaysia, Islam merupakan agama rasmi persekutuan.

“Justeru, harus diingatkan bahawa penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid di Pulau Pinang hanya dibenarkan untuk azan dan iqamah sahaja dan ia telah pun diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bertarikh 1 hingga 2 Julai 2015 dan disahkan pada 23 hingga 24 Ogos 2015,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sayap pemuda PKR negeri juga mengingatkan umat Islam di negeri itu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) supaya merujuk segera kepada pihak berkuasa agama Pulau Pinang bagi mengelakkan sebarang masalah.

“Ia bagi mengelakkan pertelingkahan dan salah faham berlaku daripada menjejaskan keharmonian kaum yang subur mekar di bumi Pulau Pinang ini,” jelasnya.

Semalam, tular klip video memaparkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman itu.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pihak JMB mengutarakan isu pembesar suara di surau kondominium berkenaan.

Pihak pengurusan berkenaan dipercayai melarang surau itu menggunakan dua pembesar suara sebaliknya hanya menggunakan pembesar suara dalam ruang ibadat itu sahaja.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihak Pejabat Agama Daerah Timur Laut telah mencapai beberapa persepakatan antara JMB dan pihak pengurusan surau terbabit.