MAINPP tuntut TikTokers Sophian mohon maaf kepada umat Islam

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menuntut seorang TikTokers bernama Mohd Sophian Mohd Zain supaya memohon maaf kepada umat Islam berhubung isu pembesar suara azan di sebuah surau.

Dia juga dikehendaki supaya menurunkan segala video berunsur hasutan dan mengeluarkan satu video permohonan maaf demi menjernihkan persepsi negatif yang telah tersebar di negara ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya kesal dengan tindakan individu terbabit yang berterusan menghasilkan video kontroversi yang tular kelmarin.

Menurutnya, video TikTokers itu menyemai kemarahan umat Islam di seluruh negara ketika perselisihan berkaitan isu tersebut sedang berjalan antara Ahli Jawatankusa (AJK) kariah, pentadbir surau dan pengurusan bangunan terbabit.

“Tindakan Sophian yang menangguk di air yang keruh ini jelas hanyalah untuk menonjolkan diri sendiri dengan kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan kebencian dan ketegangan di antara kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berpendapat Sophian patut perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan dalam perkara seperti yang sedang diuruskan oleh MAINPP dan agensi-agensi berkaitan.

Sehubungan itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang menasihatkan TikTokers berkenaan supaya berpada-pada dalam berpolitik.

“Berpolitik untuk membangunkan masyarakat dan mensejahterakan rakyat amatlah digalakkan,” katanya.

Pihak MAINPP juga, tambahnya lagi, akan mengkaji dan menyemak undang-undang yang berkaitan dalam menangani isu tersebut sekiranya ada keperluan.