Menteri lancar program “Cuti-cuti Cikgu” sempena Hari Guru

Menteri Pendidikan mengumumkan pelancaran program ‘Cuti-cuti Cikgu’ untuk semua guru-guru di negara ini sempena Hari Guru hari ini.

Program ini adalah kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Trevaloka dan juga Air Asia.

Melalui program ini, guru-guru diberikan pakej percutian selepas penat mengajar, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sempena sambutan Hari Guru di Melaka hari ini.

Semalam Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan berita baik untuk warga pendidik sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

Sebagaimana dijanjikan semalam, Fadhlina umumkan 10 inisiatif untuk guru hari ini.

Kata Fadhlina, terdapat beberapa perkara penting yang akan disampaikan bagi menaikkan semangat para guru dan ekosistem pendidikan negara.

“Tidak perlu tunggu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk umumkan. Menteri Pendidikan sendiri akan umumkan sesuatu, jadi tunggu esok.

“Ada beberapa perkara yang saya fikir penting bagi menaikkan semangat para guru dan keseluruhan ekosistem pendidikan khususnya untuk negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini,semalam.

Kini pakej “Cuti-cuti Cikgu” menjadi tumpuan para guru di negara ini dari 10 inisiatif yang diumumkan oleh Fadhlina hari ini.