Negeri Sembilan bubar DUN akhir Jun

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada akhir Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkenaan, perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Jelasnya, keputusan itu dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan bersama Menteri Besar serta Ketua Menteri bagi Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Kita sudah membuat keputusan pembubaran DUN itu nanti tidak sama hari dan tarikh tetapi dalam bulan sama dengan negeri yang lain.

“Ada (negeri) yang mungkin (bubar) awal iaitu hujung bulan ini, awal bulan Jun dan ada juga bubar hujung bulan Jun dan awal Julai.

“Kita akan ambil hujung bulan Jun, insya-Allah, mungkin 1 Julai itu hari terakhir,” dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan nama baharu bagi Jalan Sikamat kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza di Seremban, hari ini.

Pembubaran DUN Negeri Sembilan hujung Jun depan sekaligus genap lima tahun pentadbiran kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) melalui mandat yang telah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Berbanding lima negeri lain yang turut akan mengadakan PRN, tiada pembangkang di Negeri Sembilan.

Kesemua 36 kerusi DUN di negeri itu dimiliki parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada masa ini, kerajaan Negeri Sembilan dibentuk menerusi gabungan 11 wakil rakyat DAP, PKR (enam) dan AMANAH (tiga).

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) terdiri daripada 15 wakil rakyat daripada Umno dan satu kerusi daripada MIC.

Selain Negeri Sembilan, turut akan mengadakan PRN pada tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.