Pemikiran naif, kebencian Annuar Musa

OLEH: SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI

Kenyataan Tan Sri Annuar Musa hanyalah menzahirkan pemikiran naif serta hatinya yang busuk dipenuhi sifat kebencian.

Annuar sepatutnya sedar bahawa Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dijalankan dua hari lalu adalah kelangsungan – setelah enam bulan – titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong agar sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk pasca PRU-15.

Dan faktanya jelas. PN enggan menyertai Kerajaan ini sepertimana dititahkan. Dengan kata lain, PN gagal memahami dan bertindak selaras titah KDYMM Tuanku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Malangnya, perkara semudah ini gagal difahami Annuar. Bahkan tanpa segan silu, Annuar telah memetik DAP dalam kenyataan beliau.

Saya harap Annuar tonton semula rakaman penuh ucapan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke serta pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan yang lainnya.

Kehadiran DAP bersama-sama 19 parti politik yang lain ke PWTC pada 14 Mei lalu adalah simbol kesetiaan kepada Raja yang menjadi tonggak Malaysia sepertimana diikrarkan dalam rukun negara.

Kehadiran ribuan penyokong serta pendokong 19 parti yang membanjiri PWTC adalah bukti kesetiaan kepada negara.

Meskipun dengan pelbagai latar belakang yang berbeza, kami meninggalkan apa juga perseteruan lampau demi menjunjung titah tersebut.

Annuar mendakwa Konvensyen Kerajaan Perpaduan bakal membawa malapetaka kepada UMNO.

Namun hakikatnya, konvensyen tersebut bukan malapetaka apatah lagi penamat. PWTC menjadi saksi sebuah permulaan baru jajaran politik tanah air.

Politik yang mengangkat agenda rakyat tanpa membezakan bangsa, agama mahupun wilayah tertentu selaras dengan semangat Malaysia yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

Ini jauh sekali berbeza daripada pandangan Annuar yang ternyata meleset dan hanya mampu mentafsirnya atas perlabelan ‘sosialis’ dan ‘liberalis’ semata-mata.

Pandangan dangkal Annuar ini tidak lain hanyalah menzahirkan keserakahan politik kuasa semata-mata yang mahu memecah belahkan rakyat.

Sedang Kerajaan Perpaduan bawah teraju Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang berkerja keras membela rakyat, memulihkan ekonomi dan mengangkat nama Malaysia di mata dunia.

__________________________________________________________________________________________________________________

SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor

BACA JUGA: Konvensyen Perpaduan tutup mulut pengkritik, penghasut rakyat