Penghakiman tidak sentuh isu kalimah Allah – Peguam

Penarikan balik kes rayuan keputusan seorang wanita Sarawak Jill Ireland Lawrence berhubung rampasan cakera padat (CD) yang mempunyai kalimah ‘Allah’ tidak menyebabkan Kerajaan Perpaduan menjadi liberal dan bersikap longgar terhadap kedudukan Islam.

Peguam Dr Zulqarnain Lukman membidas pihak yang cuba mengeksploitasi isu tersebut bagi meluahkan kemarahan kepada Kerajaan Madani sebagai tidak membaca teks asal penghakiman.

DR ZULQARNAIN LUKMAN

“Melihat kepada fakta dan keputusan kes ini, Hakim Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang keputusan terhadap penggunaan kalimah Allah.

“Hakim hanya melihat daripada segi teknikal perampasan CD itu sama ada dibuat secara mengikut prosedur atau tidak.

“Keputusan kes Jill Ireland lebih bersifat peribadi sahaja dan tidak menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Zulqarnain berkata keputusan kes itu tidak menyentuh kedudukan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam yang ada di seluruh negara kecuali empat negeri yang tiada enakmen itu iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Jelasnya perkara itu sekali gus tidak timbul isu bahawa ianya akan menjejaskan kuasa dan hak Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.

“Tiada isu bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani menjadi liberal dan longgar terhadap kedudukan agama Islam,” tegasnya.

Terdahulu beliau menasihatkan orang ramai membaca dan merujuk teks asal laporan kes tersebut oleh Hakim Nor Bee Ariffin.

“Sebaiknya rujuklah teks asal laporan kes tersebut sebelum menzahirkan kemarahan terhadap Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani,” kata beliau.

“Gunalah panduan dalam usul fiqh iaitu sebelum membuat hukum, seorang ahli fikah akan merujuk kepada sumber utama iaitu Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Sumber utama dalam isu Jill ini adalah laporan kes dalam Jurnal Undang-Undang.

“Sama juga dalam hal ini, rujuklah teks asal supaya kita tidak sembrono menghentam kononnya Malaysia Madani sudah menjadi liberal dan tidak boleh diharapkan untuk menjaga agama Islam.”

Zulqarnain menjelaskan fakta ringkasnya Jill Ireland,  seorang warga Sarawak, bumiputera suku Melanau beragama Kristian mencabar tindakan pegawai kastam yang merampas merampas lapan cakera padat audio pendidikan Kristian (CD) yang mempunyai kalimah ‘Allah’ pada tajuknya pada 11 Mei 2008.

“Jill mendakwa bahawa CD tersebut adalah untuk kegunaan peribadinya kerana selama ini beliau dan keluarganya menggunakan Bahasa Malaysia dan AlKitab (terjemahan bahasa Indonesia untuk AlKitab di mana perkataan ‘Allah’ digunakan) dan bahan-bahan bertulis dan audio-visual dalam Bahasa Indonesia dalam amalan kepercayaan Kristian mereka,” ujarnya.

Dalam penghakimannya, hakim menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak akan menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah, kata Zulqarnain.

Katanya keputusan mahkamah pula hanya membenarkan perenggan melibatkan hak perlembagaan di bawah Perkara 11 bagi pemohon untuk membawa masuk lapan CD untuk mengamalkan agamanya dan bagi tujuan pendidikan.

Turut disentuh Perkara 8 iaitu jaminan hak semua orang di bawah undang-undang dan dilindungi daripada sebarang diskriminasi terutama Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 dan Akta Kastam 1967 selain arahan Kementerian Dalam Negeri bertarikh 5 Disember 1986 adalah tidak sah dari segi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

Pandangan penuh Zulqarnain boleh dibaca di sini.

BACA JUGA: Kalimah Allah: Tarik balik rayuan bukan bermakna tak bela Islam 

Kerajaan sedia kaji arahan baharu penggunaan kalimah Allah, solat dan Kaabah