PN sakit hati, harap PH, BN terus berbalah

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menganggap Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang berlangsung 14 Mei lalu menyakitkan hati pembangkang yang mengharapkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terus berbalah.

Ini kerana katanya, pada hari konvensyen berlangsung, pemimpin Pas berterusan mengeluarkan kenyataan tentang kejatuhan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya “boleh berubah bila-bila masa”.

“Ketua Penerangan Pas kata bila-bila masa kerajaan boleh jatuh. Tak habis-habis dia orang ni. Asyik mengharapkan (kerajaan) jatuh sedangkan orang dah tak nak pada kamu. Terimalah hakikatnya. Dah beri peluang untuk duduk bersama (PH) kamu tak nak.

“Sekarang ini bila kamu di luar (sebagai pembangkang), sibuk nak robohkan rumah yang dibina. Itulah kerja dia orang,” katanya merujuk kepada Khairil Nizam Khirudin.

“(Bila kita bersatu), ini yang menyakitkan hati golongan-golongan yang mengharapkan sangat kita akan berbalah,” tambahnya lagi dalam siri Bicara Khalid Samad di Facebook Jom Channel malam tadi yang membincangkan soal “Konvensyen Perpaduan, Kejayaannya Menyakitkan Hati?”.

Dakwaan Khairil

Pada 14 Mei, Khairil yang juga adalah Ahli Parlimen Jerantut mendakwa kerajaan gabungan PH dan BN yang diketuai Perdana Menteri Anwar boleh berubah bila-bila masa termasuk menggadaikan prinsip dan janji yang dilaungkan sebelum ini.

Katanya, kerajaan Anwar menggadai prinsip semata-mata bagi memenuhi kerakusan nafsu mereka untuk terus berkuasa.

Dakwa beliau, sikap cakap tidak serupa bikin itu kononnya telah menjadikan gelombang penolakan rakyat kepada Perdana Menteri terus kuat dan membesar apabila semakin ramai yang tersedar dengan penipuan oleh sosok tubuh yang dahulunya dijulang sebagai hero negara.

Sementara itu Khalid berkata, konvensyen dua hari lalu itu sebagai satu kejayaan besar dalam mencapai persefahaman antara dua buah parti politik terbesar dalam negara.

Apa yang penting katanya adalah persefahaman yang dipersetujui bersama untuk membangunkan ekonomi, mewujudkan sebuah pentadbiran telus, dan menyediakan peluang pendidikan serta pekerjaan kepada rakyat.

“Ini lebih penting daripada menumpukan kepada perbezaan. Kalau kita nak tumpu pada hal-hal yang berbeza pandangan, memang kita akan berbalah memanjang,” ujarnya.

BACA JUGA: Konvensyen Perpaduan tutup mulut pengkritik, penghasut rakyat