Tiga beradik dan wanita maut, Proton Saga terbakar rempuh lori tanah

Tiga beradik dan seorang wanita maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tanah dan kereta Proton Saga di Kilometer 310.2 di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh awal pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5; Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Muhammad Azib Nasaruddin, 23, serta seorang wanita Azriyani Abdul Latif, 45.

Seorang lagi penumpang dalam kereta itu, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7, iaitu adik-beradik kepada mangsa maut, cedera parah manakala pemandu lori dilaporkan selamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 2 pagi berhubung insiden itu.

Mohamadul Ehsan berkata Proton Saga itu telah melanggar bahagian belakang lori muatan tanah dan terbakar di bahagian bonet kenderaan.

“Empat mangsa telah disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang mangsa telah dibawa ke Hospital Kampar oleh pasukan kecemasan EMRS.

“Terdapat mangsa yang maut telah melecur di beberapa anggota badan,” katanya, lapor Bernama.

Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Nadzri Che Nordin itu tamat pukul 4.25 pagi.