Wanita Umno gesa kerajaan teliti semula keputusan isu kalimah Allah

Kerajaan harus meneliti semula keputusan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam demi menjaga kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata parti itu yang memperjuangkan Islam dan orang Melayu, sentiasa konsisten bahawa isu agama, bangsa dan budaya perlu dipertahankan.

“Kerajaan perlu melihat semula keputusan itu demi menjaga kepentingan agama Islam dan orang Melayu,” lapor BH.

Noraini mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill terhadap perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lepas.