Bantuan RM4.1 juta untuk institusi pendidikan Islam Negeri Sembilan
Kerajaan Negeri Sembilan telah menyalurkan bantuan perkapita dan dermasiswa sebanyak RM4,161,090 kepada institusi pendidikan Islam yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan disalurkan melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan JHEAINS itu diharapkan dapat membantu program dan pengurusan sekolah di samping meringankan beban institusi pendidikan yang terlibat.
“Bantuan Perkapita untuk institusi pendidikan Islam pada tahun ini sebanyak RM2,470,890 berbanding RM1,695,440 pada tahun 2022.
“Pada tahun ini, dermasiswa untuk 1,767 pelajar berjumlah RM1,690,200 berbanding pada tahun lepas berjumlah RM845,880 bagi 1,659 pelajar.
“Ia melibatkan jumlah peruntukan RM4,161,090 berbanding RM2,541,320 pada tahun 2022.
“Syabas dan tahniah kepada MAINS dan JHEAINS atas kerjasama menyemak semula kadar pemberian bantuan ini kepada pengurusan sekolah dan anak-anak,” katanya seperti dilapor portal berita Negeri Kita.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita dan Dermasiswa Kepada Institusi Pendidikan Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus Bagi Tahun 2023 di Klana Resort Seremban, baru-baru ini.
BACA JUGA: Negeri Sembilan bubar DUN akhir Jun