Dasar penguatkuasaan kalimah Allah diperkukuh – Kabinet

Kabinet akan mempersembahkan cadangan bagi memperkukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung penggunaan kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata perkara itu telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata cadangan itu juga bagi memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Terdahulu dalam kenyataan sama, Anwar memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.

Jelas beliau, Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

“Jemaah Menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati , memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa  berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Kerajaan akan senantiasa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” tegas Perdana Menteri.

Pada 15 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil keputusan menarik balik rayuan  terhadap seorang wanita Sarawak, Jill Ireland berhubung rampasan cakera padat (CD) mempunyai kalimah Allah.

Kes itu bermula pada pada 11 Mei 2008,  CD berjudul “Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”, “Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah” dan “Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah” dibawa wanita Kristian dari suku Melanau, Jill Ireland dirampas di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang.

Pada 20 Ogos 2008, Jill membuat permohonan semakan kehakiman supaya dikembalikan lapan CD yang dirampas daripadanya, mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan agar kesemua lapan CD itu dipulangkan, namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keputusan dasar Kabinet dan bahagian kawalan penerbitan Kementerian Dalam Negeri bertentangan dengan kes itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Pada 12 Mac 2021, Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 18 April 2023, notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

BACA JUGA: Kerajaan sedia kaji arahan baharu penggunaan kalimah Allah, solat dan Kaabah