Jemaah haji Selangor dapat insentif RM500, permohonan dibuka Jumaat

Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menawarkan Insentif Haji Muassasah pada tahun ini kepada 3,000 bakal jemaah yang memerlukan khususnya kumpulan B40 dan M40 di negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata setiap jemaah yang memohon dan menepati syarat kelayakan akan menerima wang tunai sebanyak RM500 serta kit syifa termasuk ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen, serta pelembap bibir.

Kata beliau sebanyak RM1.65 juta diperuntukkan untuk keseluruhan program ini dengan permohonan dibuka bermula Jumaat ini iaitu 19 Mei hingga 25 Ogos 2023.

”Bagi memudahkan proses pendaftaran, urusan permohonan akan dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

”Ia akan diselaraskan oleh MBI selaku pelaksana program. Jemaah yang layak memohon semestinya warganegara Malaysia dan menyampaikan salinan surat tawaran mengerjakan haji muassasah yang mengandungi kenyataan bayaran haji serta salinan jadual penerbangan,” maklum beliau menerusi kenyataan hari ini.

BAKAL jemaah haji menjalani latihan dalam Kursus Perdana Haji 1444H Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6-7 Mei 2023. Foto Tabung Haji

 

SEBAHAGIAN bakal jemaah haji melakukan latihan saie dari Safa ke Marwah dalam Kursus Perdana Haji 1444H Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6-7 Mei 2023. Foto Tabung Haji

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berharap usaha tersebut dapat memudahkan urusan perjalanan bagi jemaah yang bakal diraikan sebagai ‘dhuyufurrahman’ (tetamu Allah) pada tahun ini.

Untuk maklumat lanjut, bakal jemaah haji boleh merujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing melalui pautan https://bit.ly/3ByFSxm.