Kalimah Allah: MAIS kesal tindakan unilateral KDN, mahu rayuan diteruskan
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terkilan dengan tindakan unilateral Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan membabitkan kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian tanpa berunding dengan pihak berkuasa agama Islam itu.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihak MAIS tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes tersebut.
“Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, pihak MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curae (sahabat mahkamah).
“Walaubagaimanapun, MAIS merasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan MAIS dan pihak lain yang terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz yang pernah menjadi Ketua Setiausaha KDN berkata MAIS berpendirian bahawa kes tersebut bukan hanya berkaitan isu pentadbiran dan keselamatan malah melibatkan akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama Negeri.
“Sebagai pihak berkuasa agama berkaitan pentadbiran agama Islam yang bertanggungjawab untuk melindungi akidah umat Islam di Negeri Selangor, MAIS berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di Negeri Selangor.
“Dalam titah baginda, Sultan Selangor menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang penggunaannya di Selangor,” jelas kenyataan itu.
Abdul Aziz berkata baginda berpendirian bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh digunakan selain daripada maksud tersebut yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.
“Namun begitu, baginda tiada halangan sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God” dalam apa-apa percetakan atau penerbitan berhubung dengan agama Kristian,” ujarnya.
Beliau berkata MAIS juga mengulangi kenyataan sebelum ini dan menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Selangor adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan pada 18 Februari 2010.
Katanya MAIS berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi memutuskan isu ini secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak terlibat.
“Justeru, MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan merujuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Negeri Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.
“Ini untuk memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Negeri Selangor,” katanya.
Pendirian Kerajaan Selangor
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin dalam kenyataan menegaskan kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Selangor pada 23 Mac 2020 tentang larangan penganut agama lain menggunakan kalimah Allah.
“Ini selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Cotholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada 2014 serta fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 berkaitan perkara sama,” katanya.
Jelas Amirudin, kerajaan negeri mengambil maklum penjelasan KDN dalam perkara ini dan menyatakan komitmen bahawa hak dan enakmen negeri khususnya melibatkan isu ini yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) akan terus dipertahankan.
“Ini bermaksud perkembangan ini tidak akan menjejaskan atau mengancam pendirian kerajaan negeri berhubung penggunaan kalimah Allah.
“Kerajaan negeri tegas melindungi kepentingan serta sentiviti bahawa kepercayaan agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah dibina dan menjadi asas kepada Selangor Darul Ehsan,” katanya.
BACA JUGA: Dasar penguatkuasaan kalimah Allah diperkukuh – Kabinet
Penghakiman tidak sentuh isu kalimah Allah – Peguam
Kalimah Allah: KDN perlu keluarkan arahan pentadbiran baharu – KANUN