Kalimah Allah: PH, BN akan terjejas dalam PRN sekiranya tiada penjelasan mendalam

Penjelasan mendalam berhubung polemik penggunaan kalimah Allah perlu diberikan untuk mengelakkan isu tersebut dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu, kata seorang penganalisa politik dari Universiti Malaya. Kegagalan dalam penjelasan ini akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri akan datang.

Pensyarah Jabatan Sosiobudaya dan Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Dr Abdul Muqit Muhammad berpendapat bahawa penjelasan sekadar “biasa-biasa” di pihak kerajaan berhubung polemik penggunaan kalimah Allah, tidak akan cukup untuk berdepan dengan manipulasi pihak-pihak tertentu.

Ini kerana kata Abdul Muqit, penggunaan kalimah suci bagi umat Islam itu adalah isu “kelas A” dalam masyarakat Melayu yang perlu dijelaskan dengan lebih baik.

Beliau menjangkakan Kerajaan Perpaduan akan terkena tempias penolakan pengundi jika hal ini tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh.

Kalimah Allah isu politik

“Kita semua jelas bahawa isu kalimah Allah ini ialah isu politik. Maknanya, penjelasannya isu ini di luar skop perbincangan ilmiah.

“Cuma pada saya, kerajaan sekarang ini masih tidak berupaya memberi penerangan yang berkesan dalam isu ini. Penerangan biasa tidak cukup, sebab pada saya isu ini ialah isu ‘kelas A’ dalam masyarakat Melayu.

“Kalau tak ditangani, kerajaan perpaduan akan menerima kesan dalam PRN akan datang,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Pada masa sama, Abdul Muqit menyarankan agar kerajaan bertindak segera dan membuktikan dengan sungguh-sungguh bahawa polemik yang dibangkitkan sekadar isu politik.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut agama Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan hanya terpakai untuk negeri berkenaan, dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.

Penjelasan berkaitan keputusan kerajaan itu juga sudah diperjelas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam.

Polemik penggunaan kalimah Allah muncul selepas keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang membenarkan Jill Ireland mendapatkan semula kitab-kitab yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Kitab Injil yang digunakannya menggunakan kalimah Allah.