Kalimah Allah: PN akan memerangkap dirinya kerana fakta

Pakatan pembangkang Perikatan Nasional akan masuk ke dalam perangkapnya sendiri sekiranya isu kalimah Allah diterangkan secara berfakta, kata mantan calon Kuala Krai dari AMANAH Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

“Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang ada pada hari ini hanya hendak memperbetulkan kekhilafan yang telah dilakukan sebelum ini yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama selain Islam,” katanya yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz di media sosial.

“Pembangkang (PN) cuba memanipulasi seolah-olahnya KDN tarik balik (rayuan) untuk mengenepikan isu kalimah Allah.

“Tetapi sebenarnya kes itu sewaktu keputusan dibuat pada 2021, Perdana Menteri pada masa itu adalah Tan Sri Mahiaddin, Menteri Agama dan Undang-Undang daripada Pas dan Menteri KDN adalah Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Jadi pasukan mereka sebenarnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut menjelaskan kes Jill Ireland yang hangat diperkatakan sehari dua ini. Ini kerana pihak Kementerian Dalam Negeri telah menarik balik rayuan yang dibuat terhadap kes tersebut.

“Isu sebenarnya adalah perbicaraan ini adalah membabitkan isu pentadbiran iaitu Kastam telah merampas lapan cakera padat (CD) milik Jill di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang..

“Jadi apabila rampasan itu dibuat, Jill telah merayu di mahkamah supaya dikembalikan kesemua CD miliknya dan bukannya bagi Jill kebenaran untuk guna kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat. Itu ramai yang tidak faham,” jelasnya.

Hisyam menyatakan tindakan KDN dalam kes tersebut adalah kerana percanggahan arahan KDN dengan keputusan mesyuarat kabinet.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa KDN tidak meneruskan rayuan keputusan kes Jill berdasarkan perkara-perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

Beliau turut menyatakan bahawa kepentingan Islam akan terpelihara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan bahawa larangan tersebut hanya untuk Semenanjung.

Â