Mohamad Sabu terima ‘Medal of Spiritual Unity’ daripada Mufti Rusia

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu diberikan penghormatan apabila telah dianugerahkan ‘Medal of Spiritual Unity’ oleh Mufti Besar Persekutuan Rusia semalam.

Ravil Gaynutdin yang juga Pengerusi Muslim Spiritual Board, Persekutuan Rusia menyempurnakan penyampaian anugerah itu di Grand Cathedral Mosque, Moscow semasa siri lawatan rasmi Mohamad ke Rusia atas usaha meningkatkan perpaduan ummah.

Kementerian dalam kenyataan berkata lawatan Mohamad turut memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Rusia dalam pelbagai bidang terutamanya bidang pertanian, keterjaminan makanan dan potensi kerjasama industri halal.

Mohamad dalam rangka lawatan kerja bersama deligasi kementerian ke Rusia bermula pada 15 hingga 23 Mei 2023 selaras dengan penyertaan ke Forum Ekonomi Antarabangsa ke-14 “Russia-Islamic World: KazanForum” 2023.

KazanForum merupakan acara antarabangsa yang dianjurkan oleh Kerajaan Rusia melalui Kerajaan Republik Tatarstan sejak tahun 2009 sebagai platform bagi memperkukuhkan kerjasama antara Rusia dengan negara-negara Islam.

“Sebagai pengiktirafan, pada tahun 2022 Presiden Rusia telah menaik taraf KazanForum sebagai acara tahunan utama peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Rusia melibatkan anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Antara program utama di bawah KazanForum 2023 ialah Ekspo Halal Rusia 2023 yang melibatkan pameran dan promosi produk makanan halal di Rusia,” kata kementerian dalam kenyataan.

MOHAMAD Sabu bersama delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bergambar bersama Ravil Gaynutdin selepas menerima ‘Medal of Spiritual Unity’ di Grand Cathedral Mosque, Moscow pada 16 Mei 2023. Foto FB Mohamad Sabu

Katanya melalui ekspo ini, Malaysia boleh meneroka potensi dan peluang mempromosikan buah-buahan tropika yang sedia dieksport serta memperkenalkan produk makanan halal bukan sahaja kepada Rusia malah kepada negara-negara OIC yang turut menyertai KazanForum 2023.

Semasa di KazanForum 2023, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan menyampaikan ucapan pada sesi meja bulat Malaysia dan Rusia bagi memberikan gambaran dan menyatakan wawasan sektor pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia.

Di samping itu, Mohamad juga dijadual menyampaikan ucaptama pada sesi plenari forum tersebut dengan tema Teras Ekonomi: Kerjasama antara Rusia dan negara-negara OIC.

Dalam rangka lawatan kerja ini, Mohamad dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, Dmitry N. Patrushev di Moscow.

Beliau juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan, Marat Zyabbarov di Kazan bagi membincangkan kerjasama pertanian antara Malaysia dan Rusia dengan mengutamakan akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Rusia.

Terdahulu hari ini, Mohamad sempat meninjau Agrocluster Food City yang terletak di Kaluga Highway, Moscow yang menyediakan pusat borong dan runcit terbesar di negara itu.

Dengan keluasan 91 hektar, ia menawarkan pelbagai produk segar berkualiti tinggi pada harga yang lebih rendah berbanding pusat borong lain di Moscow.

BACA JUGA: Rumah terbuka Mohamad Sabu penuh sesak dengan manusia