Selangor bela guru sekolah agama, sedia perjawatan lebih baik – MB

Kerajaan Selangor sentiasa membuat perancangan bagi menambah baik sektor pendidikan melibatkan guru khususnya sekolah agama.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata antara penambahbaikan adalah daripada segi gaji minimum, perjawatan, pengurusan, pentadbiran dan fasiliti sekolah.

“Insya-Allah bulan Jun ini, semua akan dapat (gaji) pada tahap RM1,500 dan ke atas dan saya percaya ia boleh dilaksanakan.

“Kita mahu tengok juga macam mana pengisian yang lain di mana perjawatan terhadap posisi supaya karier dan juga masa depan perguruan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini mendapat pembelaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru JAIS Tahun 2023 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam semalam.

Amirudin berkata kerajaan negeri berharap sektor perguruan sekolah agama dapat berkembang sama seperti institusi dan juga profesion perguruan di jabatan atau kementerian lain.

“Ini adalah termasuk dana, perjawatan dan pengurusan yang akan jauh lebih baik dan kita akan cuba buat secara komprehensif.

“Jadi kita mahu ambil kesempatan dan ruang itu untuk gunakan sama ada menambah kualiti sekolah daripada segi kelengkapan peralatan sampailah kepada pengisian jawatan dan sebagainya,” ujarnya.

Terdahulu dalam sambutan tersebut, dua tokoh guru di negeri Selangor turut diumumkan sebagai Tokoh Guru Agama Lelaki dan Wanita bagi tahun 2023.

Mohd Ja’afar Komari, 63, yang juga pesara guru dipilih sebagai Tokoh Guru Agama Lelaki manakala seorang guru, Jamaliah Jauhari, 63, pula dipilih sebagai Tokoh Guru Agama Wanita.

Pada November 2022, kerajaan negeri Selangor mengumumkan pelarasan elaun minimum guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sebanyak RM1,500 sebulan.

Amirudin berkata, ia sebagai menghargai peranan 2,825 guru KAFA di Selangor yang masih dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan.

Kerajaan Selangor turut membelanjakan sejumlah RM1.4 bilion bagi mengukuhkan institusi masjid, surau dan sekolah agama di negeri ini sejak 2018.