Bekas Presiden ABIM pertama meninggal dunia

Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pertama, Prof Dr Razali Nawawi meninggal dunia pada jam 6.45 pagi tadi.

Berita pemergian mantan pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dimaklumkan menerusi laman Facebook rasmi ABIM hari ini.

Turut berkongsikan perkhabaran duka itu Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau memberitahu jenazah Allahyarham diuruskan di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi dengan solat jenazah dijangka berlangsung jam 10 pagi ini.

Razali, 79, dilantik sebagai presiden pertama ABIM bermula pada 1972 hingga 1974 dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM dari 16 Disember 1971 hingga 31 Ogos 1983.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Hutan Pasir, Tendong dan dibesarkan di Kampung Selor Machang, Pasir Mas, Kelantan.

Beliau juga menjadi dekan pertama Kulliyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1983 hingga 1990 sekaligus menyumbang pada penambahbaikan sistem dan pengamalan perundangan syariah di negara ini.

Tokoh ilmuwan itu juga banyak menulis kertas kajian akademik dan buku-buku ilmiah, antaranya Critique of Christian Theology By Imam Al-Ghazali (ABIM, 1981), Ciri-ciri Syariah (ABIM, 1981) dan The Machinery of Islamic Justice in the Kingdom of Saudi Arabia and Malaysia (IIUM, 1990).

Pemegang ijazah sarjana dalam bidang Perbandingan Agama di Universiti Birmingham, United Kingdom berkenaan juga menulis “Hak-hak Wanita dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor” (DBP, 1998), Islamic Law on Commercial Transaction (Cert, 2009), Erti Perjuangan (WADAH, 2020), Erti Kehidupan (WADAH, 2021), dan lain-lain.