Cuti-Cuti Cikgu: Menteri kreatif menjaga kebajikan guru dan pelajar

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek disifatkan sebagai seorang yang kreatif susulan inisiatifnya berkaitan Program Cuti-Cuti Cikgu yang diumumkan 16 Mei.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang diperkenalkan Fadhlina.

“YB Menteri (Fadhlina) sentiasa kreatif untuk menambah baik kebajikan guru dan pelajar dalam negara kita.

“Program Cuti-Cuti Cikgu ini saya melihat ianya mempunyai banyak kelebihan. Antaranya daripada segi potongan harga di tempat-tempat penginapan dan juga harga tiket penerbangan dan ini sangat bagus,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai inisiatif program berkenaan seperti diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sempena sambutan Hari Guru, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Jasni yang juga Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), berharap agar guru-guru bijak menyusun jadual apabila mahu keluar bercuti atau melancong nanti.

“Cikgu-cikgu kena pandai sesuaikan dengan jadual bila hendak keluar melancong. Kalau guru-guru nak keluar bercuti, seeloknya maklum kepada pihak pentadbir supaya mereka dapat menyusun kerja masing-masing.

10 inisiatif

“Masa cuti itu sebenarnya cikgu-cikgu boleh dipanggil ke sekolah dalam hari tertentu. Maknanya maklum kepada pentadbir kalau keluar ke mana-mana.

“Justeru, susunan kerja itu menjadi mudah seperti nak selesaikan isu-isu pendidikan di sekolah,” ujarnya lagi.

Program Cuti-Cuti Cikgu merupakan salah satu daripada 10 inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Fadhlina berkata, langkah itu sebagai usaha untuk memberi semangat baharu kepada guru, sekali gus dianggap hadiah kepada golongan berkenaan sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

Beliau berkata, sembilan inisiatif lain untuk guru di seluruh negara ialah penambahbaikan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5/2002 berhubung Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan, diikuti peluasan Sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan 10 sekolah lagi bagi mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan Orang Asli.

Katanya, inisiatif lain adalah KPM bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan, diikuti kebenaran dan kelonggaran pemakaian baju korporat rasmi KPM sewaktu bertugas serta pemansuhan kutipan sumbangan Hari Guru.

“KPM juga akan mempertingkatkan peranan kumpulan Guru Insani Malaysia dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) bagi melonjakkan lagi profesionalisme guru, selain menjaga kebajikan guru.