Usahawan pertanian diseru sertai Program Ladang Kontrak
Usahawan pertanian di negara ini diseru untuk mendaftar sebagai peserta Ladang Kontrak bertujuan membolehkan golongan tersebut mendapat kelebihan sebagai peserta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata seruan itu juga adalah untuk mereka merancang pelan pemasaran pada masa akan datang.
“Saya dimaklumkan perbincangan secara dua hala antara pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian bersama usahawan cili api bara, Muhammad Termizi Setopa telah diadakan berkaitan isu lebihan pengeluaran cili api bara di daerah Jempol.
“Pihak FAMA juga telah mengambil langkah proaktif berbincang kaedah pemasaran terbaik sama ada di cawangan sedia ada FAMA atau menjual terus kepada usahawan Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) FAMA.
“Jadi, saya menyeru kepada semua usahawan untuk berdaftar sebagai peserta Ladang Kontrak bagi mendapatkan faedahnya,” katanya menerusi satu catatan di hantaran Facebook rasminya, hari ini.
Tujuan Program Ladang Kontrak dilaksanakan adalah untuk menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar selain mempergiatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran.
Ia juga adalah untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan menepati kehendak pasaran.
Selain itu, program tersebut juga membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana dalam menjamin pengeluaran hasil pertanian serta mendapat pulangan yang setimpal.
BACA JUGA: Masa depan negara ada di tangan anak muda – Mohamad Sabu
Â