DAP boleh berperanan seperti Gerakan dahulu

Pengerusi Tetap Veteran UMNO Malaysia, Datuk Seri Kamal Amir menyifatkan DAP boleh menggantikan Parti Gerakan Rakyat Malaysia dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Beliau berkata DAP boleh memainkan peranan sepertimana yang dimainkan oleh Gerakan yang menyertai gagasan Barisan Nasional semasa pentadbiran Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dalam tahun 1974.

“Saya lihat DAP akan mengantikan Gerakan dalam Barisan Nasional pada zaman Tun Abdul Razak (Perdana Menteri kedua) serta Gerakan juga bertahan 40 tahun dengan gabungan tersebut.

“Oleh itu, tiada masalah kerjasama ini (Kerajaan Perpaduan) diteruskan selagi DAP mengutamakan isu-isu rakyat,”katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Selain itu, Kamal Amir yang juga UMNO Veteran Penerangan Wilayah Persekutuan turut berpendapat pendekatan politik sempit yang dibawa oleh pembangkang tidak mampu bertahan lama terutamanya masyarakat di bandar.

“Dalam politik kecanduan untuk mendapatkan sokongan yang mudah sering menggunakan sentimen perkauman dan agama bagi meraih undi.

“Namun ia berbeza bagi warga metro yang tidak menerima politik sempit kerana sudah biasa hidup dalam kepelbagaian dan lebih terbuka antara kaum-kaum yang lain.

Jelasnya, peranan komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam mengutamakan isu rakyat dan perpaduan sahaja dapat memadamkan sentimen perkauman dan agama.

“Hanya apabila Kerajaan Madani mampu menangani masalah rakyat dengan meningkatkan keupayaan ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan, rakyat akan menyokong Kerajaan Perpaduan ini.

“Ia secara tidak langsung dapat memadamkan politik sempit yang dimainkan oleh pembangkang begitu sahaja,” ujarnya lagi.

Gerakan keluar dari BN dalam tahun 2018 apabila BN kalah dalam pilihan raya umum ketika itu. Parti tersebut menyertai Perikatan Nasional dalam bulan Februari 2021.

DAP pula tidak pernah menyertai BN tetapi bersama dengan PKR menerusi Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.

PN yang turut dianggotai Pas dan Bersatu memainkan sentimen kaum dan agama untuk memenangi pilihan raya terutamanya di kawasan majoriti Melayu Muslim.

BACA JUGA: DAP Labu, berikan khidmat terbaik dalam PRN